Izinkan aku menjadi musyrifmu



Telah masuk bulan kedua aku bernafas disini. Kota Kaherah adalah kota padang pasir metropolitan. Di hiasi bunyi-bunyi hon tidak kira siang ataupun malam. Aku kira itu mungkin suatu suasana yang bisa menarik sukma segenap jiwaku. Kisahku pasti akan menarik mulai detik ini. Apa yang paling "menarik" adalah namaku sudah ada dalam senarai  musyrif terpasak padu sebalik  cermin kaca di ruang lobi Asrama Darul Aman. Aku membesarkan dua anak mataku bulat-bulat melihat suatu nama disitu.  "Alamak! itu namaku. Iskandar Zulkarnain Bin Ishak. Aduh, siap bagi nombor telefon lagi. Nasib baik aku ada dua nombor." Bisik hatiku sambil tersenyum sinis.Malam itu juga aku menerima satu panggilan dari akhawat. Pada mulanya aku malas dengan amanah ini,namun aku dukung juga. Hambar dan keterpaksaan. Saban hari,aku berasa seronok dengan tugas ini. Setiap kali aku menghantar mereka ke destinasi masing-masing, rezeki ku tidak putus-putus. Ada sahaja "hadiah" dari mereka untukku. Ayah pernah berpesan padaku, rezeki jangan ditolak. Kalau ada yang sudi memberi maka kita kena lah menerimanya.Tugasku kini sudah bermula sebagai seorang musyrif yang bertauliah dan disegani oleh setiap lapisan umur kaum hawa. Bagi mereka, aku umpama wira. Itu yang membuatku tersenyum sebentar. Barangkali hatiku mula berbunga-bunga. Ah! lupakan semua itu. Aku harus tajdid niatku ini. Bukankah dalam Al-Quran telah telah menyebut yang bermaksud : " Dan bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa " Al-Maidah : 2 . Aku harus menolong mereka kerana wanita adalah insan yang lemah. Mereka harus diberikan perlindungan yang terbaik. Aku rela kerana aku menganggap mereka sebahagian dari keluargaku di sini. Wahai saudari-saudariku, jangan malu untuk meminta pertolongan dariku. Aku berkata begini bukan disebabkan aku ingin menggoda kalian atau sebagainya, tetapi aku dilahirkan untuk menjaga kamu dari insan yang akan menyakiti kalian. Allah, bantulah aku. Darah garuda yang mengalir dalam badanku kian membuak-buak bak sang panglima turun gelanggang. Aku benci lelaki yang suka mengambil kesempatan atas diri insan lemah bernama wanita. Walaupun aku sedar ada juga dikalangan mereka tidak mengambil endah akan keselamatan mereka sendiri. Semoga Allah campakkan rasa takut buat mereka supaya mereka sedar akan kepentingan musyrif.

 Hari ini giliran aku untuk menjadi tukang masak. Aku membuat keputusan untuk menunjukkan kepakaran dalam memasak sambal ayam. Resepi dari ummi. Petang itu seusai aku membeli barang di Regab, aku memulakan upacara memasak yang mengambil masa hampir dua jam. Aku pun tidak tahu mengapa perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakannya. Barangkali aku seorang yang teliti. Katakan ya sahaja. Kebetulan ramai ahli bait aku berpuasa sunat isnin. Rezeki mereka. Apabila azan maghrib berkumandang, aku dan rakan-rakan memulakan dengan sebiji tamar. Itu adalah sunnah, dapat pahala. Aku dengan pantas menghidangkan makanan yang aku masak tadi di sebuah talam. Kami memang mengamalkan budaya " Makan Dalam Talam ". Mengeratkan lagi ukhwah antara kami.Dengan lafaz bismillah yang keluar dari hujung bibirku, satu suapan nasi perlahan-lahan menuju mulutku. Pergerakkanku terhenti tatkala mendengar telefon bimbitku berdering. Aku meletakkan semula suapan yang belumku jamah sebentar tadi lalu menjawab panggilan tersebut. Aku dapat rasakan yang anak tekakku menjerit kerana marah. Mungkin perutku memberi arahan sebegitu. "Assalamualaikum ustaz Iskandar ke?" Satu suara wanita memecah pembesar suara telefon bimbitku. "Waalaikumusalam, ya ana bercakap. Ustazah ada apa yang boleh ana tolong ka?" Walaupun aku cuba untuk bercakap dalam bahasa baku ternyata loghat kedahku tidak dapat dipisahkan. Aku anak jati Kedah. "Begini ustaz, ana akhawat dari Selangor. Ana perlukan khidmat ustaz sekarang untuk menjadi musyrif kepada anak buah ana yang sekarang sedang menunggu di lobi Asrama Kedah. Diaorang ni susah sikit ustaz, kadang-kadang balik tak nak musyrif pun. Jadi boleh ke ustaz tolong hantar diaorang pergi ke Asrama Selangor Hayyu Asyir?Ana takut apa-apa jadi kat diaorang tu. Maafla kalau ana susahkan ustaz." Jelas wanita tersebut. Ianya membuat aku terpaku seketika. Aku dengan tanpa berfikir panjang berkata : " Ya baiklah ustazah, ana turun sekarang. ". Aku mencuci tanganku dari saki masakan yang tidak sempat kujamah lalu berlari mendapatkan akhawat Selangor yang sedang menunggu panglima mereka tiba.

"Assalamualaikum ustazah dari Selangor ka? InsyaAllah ana akan hantar ustazah-ustazah balik". Aku melemparkan senyuman kepada mereka. Pujuk hati dan pujuk perut sekali. " Kenapa ustaz lambat? kitorang tadi kalau seminit lagi ustaz tak datang kitorang balik je tau. Kakak musyrifah kitorang kat rumah tu bising-bising nak jugak kitorang balik dengan ustaz. Ustaz ingat kitorang takde kerja lain ke nak tunggu ustaz lama-lama ni?. Debik salah seorang akhawat yang tidak ku kenal siapakah orangnya. Kalau boleh dilihat dengan mata kasar kata-kata itu bisa merobek jantungku. Bukan kerana jatuh cinta malah lebih teruk dari jatuh tangga! Aku dengan tawar hati menundukkan amarah keegoanku terhadap kaum wanita yang berdiri di hadapanku."Maafkan ana sebab lambat, boleh kita gerak sekarang kan?". Kataku pada mereka. Semuanya tujuh orang. Aku memastikan semuanya dalam keadaan aman. Aku runsing kerana belum menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah. Iaitu solat maghrib. Aku mempercepatkan perjalananku agar semuanya berlaku dengan cepat. Lagipun aku tidak senang hati dengan akhawat yang aku pimpin ini kerana sikap mereka yang "kurang mesra alam".Kami sudah berada di Suq Sayyarat, hayyu Asyir.Suatu tempat yang agak bahaya disana. Sudah ramai kejadian rompak berlaku sekitar kawasan itu. Baru-baru ini kawan sekuliahku dirompak wang sebanyak LE1000. Risau juga aku dibuatnya. Dalam kerunsingan yang bermain dalam fikiran tiba-tiba aku terdengar satu suara yang kuat di belakangku. Aku segera menoleh ke belakang. Ternyata salah seorang akhawat di bawah perlindunganku kini berada  dalam pelukan lelaki berkulit hitam. Manakala akhawat yang berbaki terus menerus menjerit ketakutan. Aku dalam keadaan panik meninggikan suara." Ustazah yang lain ke belakang sikit! ". Semua menurut perintahku dalam masa sesaat. Aku mula bermuamalah dengan penjahat itu. Dia mahukan aku dan akhawat yang lain mengeluarkan barang berharga serta wang. Aku meminta dia melepaskan akhawat itu terlebih dahulu. Aku amat kenal sekali, itulah akhawat yang menengking aku sebentar tadi. Wajahnya yang sombong telah hilang serta merta."Ustaz, tolong ana ustaz. Ana takut. Ada pisau dekat leher ana ni ustaz". Dadaku berombak laju."Ustazah, bawa mengucap. Allah ada bersama kita. Ana akan bantu ustazah". Pujukku pada akhawat itu seolah-olah kami sudah kenal lama.Lelaki itu terus menerus mendesak dan mengugutku untuk menyerahkan barang yang ada. Aku mengeluarkan Iphone 4 yang dihadiahkan oleh ummi dan ayah kepadaku. Hadiah kejayaan Mumtaz dalam STAM. Itulah harta yang paling berharga buatku. Aku menyerahkan telefonku kepadanya. Dia menolak akhawat tadi dengan kuat hingga kepala akhawat tersebut terhantuk pada batu permukaan tanah. Kasihan! Akhawat yang lain segera memapahnya untuk bangun. Aku sempat menoleh ke arahnya lalu berkata :" Ustazah okay ka? ustazah cuba bangun dan lari dari sini cepat! Ustazah yang lain cuba dapatkan bantuan". Aku memberi arahan seperti seorang Kapten di kem tentera. Tiba-tiba tanpa aku sedari ada suatu benda tajam menusuk masuk di belakangku. Aku dapat rasakan tulang di bahu ku meletup kecil. Aku kaget." Ustazzzz!" Jerit salah seorang akhawat disitu. Semua orang ketika itu dalam keadaan panik. Ada yang menangis. Ada juga yang meraung. Lama kelamaan aku sukar untuk bernafas. Pandangan mataku juga mulai kabur. Aku yang terdampar disitu perlahan-lahan cuba untuk bangun. Menunjukkan aku masih kuat. Aku tidak sanggup mendengar tangisan mereka lagi." Ustazah, ana takdak apa-apa.Ana okay. Ustazah jangan risau". Begitu besar penipuan yang telah aku lakukan saat ini. Pisau yang tajam masih terpacak di belakangku. Aku tetap mahu bangun membuktikan yang aku lelaki gagah di mata mereka. Semakin aku cuma untuk bangun, semakin kuat pula jeritan akhawat di hadapanku." Tidakk...! Jangan...! Ustaz...! ". Apa yang mereka cuba sampaikan kepadaku? Aku tidak mengerti. Bunyi das pistol jelas kedengaran memecah kesunyian senja malam itu. Das tersebut tepat tertanam pada dadaku. Aku terjatuh buat kali kedua. Lelaki jahat itu tanpa rasa bersalah menembakku dengan senjata api pembunuh nombor satu dunia. Bukan sekali, bukan dua kali malah sebanyak tiga das tembakan hinggap di badanku.Sebelum ini aku hanya melihat di filem aksi dan drama sahaja. Tetapi malam ini aku merasai semua ini sendiri. Aku betul-betul tidak terdaya lagi. Aku tertiarap di situ nyawa-nyawa ikan seiring suara tangisan mereka. Aku tewas. Ya Allah, Adakah kali ini aku benar-benar tewas? " Ustaz, maafkan ana ustaz. Ana berkasar dengan ustaz tadi. Ustaz tolong jangan pergi. Ana minta ampun. Ya Allah ampunkan aku. selamatkan ustaz Ya Allah. Sesungguhnya dia orang  yang sangat baik". Itulah kata-kata yang paling indah pernah singgah di ruang gegendang telingaku." Ustaz, tolonglah bangun. Katakan yang ustaz mahu memaafkan ana. Bangunlah ustaz!". Suara akhawat tersebut dapatku dengar dengan jelas. Tapi apakan daya, aku tidak boleh membalasnya dengan kata-kata. Jika Allah berikan aku kekuatan mahu saja aku katakan padanya :" Ustazah, ana maafkan ustazah. Ana harap ustazah jangan rasa bersalah. Malam ini jika ditakdirkan Allah ana pergi dulu, InsyaAllah kita jumpa di alam "sana". Giliran ustazah juga pasti akan tiba. Setiap manusia yang bernyawa pasti akan merasai maut seperti yang ana sedang rasai. Perit,sakit dan pedih. Itulah panahan sakaratul maut.""Ustaz, bangunlah ustaz. Ana merayu! ". Aku dapat rasakan suara itu beransur hilang. Suasana kian sunyi. Suara akhawat tersebut menjauh pergi. Bergema. Hitam dan pekat pandanganku. Perlahan mataku menutup dengan lafaz Lailahaillah Muhammadu Rasulullah..

"Ustaz! kenapa ustaz buat ana begini? Bangunlah ustaz! Bangun! Bangun!" Suara akhawat masih lagi kedengaran. Mungkin rohku baru sahaja terpisah dari jasad. oleh itu aku masih mendengar rintihannya." Ustaz, janganlah begini. Bangunlah!". Aku semakin hairan. Mengapa makin jelas dan lantang suara akhawat itu?"Haa... bangun pun! encik ostat yang budiman, kita dah terlepas ke Musallas ni. Kitorang tak solat lagi tau tak? Ustaz nak tangung dosa kitorang ke ape? Nasib baikla ustaz ni handsome macam Fatih Seferagic sikit. Kalau tak, kitorang tinggal je ustaz terduduk tido sampai esok!" Aku buntu, Bukankah akhawat ini yang jatuh terkena batu tadi. Kenapa dia masih bertenaga dan berubah menjadi sombong semula? Ya Allah! aku mimpi rupanya. MasyaAllah apa yang aku buat ni. Aku melihat akhawat yang berbaki menggelengkan kepala mereka berulang-ulang kali. Ada yang menutup dahi mereka menunjukkan rasa tidak puas hati. Ada yang memandangku dengan pandangan yang tajam. Aku berasa amat malu untuk hadapai semua ini. Tapi aku bersyukur semua ini hanyalah mainan tidur. Aku sangka aku sudah pun syahid tetapi Allah masih hidupkan aku untuk terus beribadat padaNya. Aku akui, hari ini adalah hari yang meletihkan aku.Sebab itulah aku sampai tertidur di dalam bas. Perutku mula berkeroncong minta dihulurkan makanan secepatnya. Aku segera bangun dari tempat dudukku."Err, minta maaf ustazah. Ana letih hari ni" Mukaku merah padam. Aku cepat-cepat menuju ke pemandu bas. Kami semua turun di Masjid untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai solat aku membuat satu panggilan."Assalamualaikum Bob. Wei, hang duk mana? hang mai Musallas la ni jugak. Aku tungu hang kat Jamiek. Teman aku pi BKAN Selangor kat Asyir." Bob, kawanku berbadan tegap. Orangnya pandai bermain silat dan taek kwan do. Malam itu dan malam seterusnya aku tidak serik digelar musyrif, dulu,kini dan selamanya. Aku tetap ingin menggalas tugas ini. Manalah tahu suatu hari nanti, amanah yang aku galas ini disalurkan untuk isteri dan anak-anakku kelak. Izinkan aku menjadi musyrifmu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rindu Mesir

Cebisan Kenangan

~TENTANG CINTA~