Tenanglah tenang, ia akan datang..



Pernah rasa ditinggalkan? Pernah rasa tertekan sehingga kadangkala terasa seperti terkorban? Pernah rasa sempit sehingga menyesakkan? Gagal dalam sesuatu perkara kemudian tenggelam dalam kekecewaan? Diuji hebat sehingga rasa kesesakan?
Kita rasa seakan sendirian. Tiada siapa mahu mendengar cerita kita. Kita rasa tiada bantuan. Tiada siapa mahu menghulurkan tangan. Lebih buruk lagi, sehingga satu tahap, kekecewaan kita sampai kepada kehilangan kepercayaan kepada Allah SWT. Kita kata…
Allah sudah tinggalkan kita.
Tenang. Tenanglah tenang.
Sesungguhnya pertolongan itu akan datang.

Hakikat ujian
Segala yang menyukarkan itu adalah ujian. Segala kesenangan juga adalah ujian. Jangan rasa sempit apabila anda disusahkan sesuatu. Belajarlah untuk berlapang dada. Anda kena yakin bahawa, hidup adalah ujian. Ya, hidup itu sendiri satu ujian. Susah senang, semuanya ujian.
Yang anda perlu kisah, bukannya ujian anda itu senang atau susah, yang anda perlu kisahkan adalah kenapa Allah memberikan ujian? Kenapa tidak Allah permudahkan sahaja segala perkara?
Di sini jawapannya:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Ya, ujian itu untuk menguji keimanan. Itu hakikatnya. Maka, ujian dalam bentuk kesusahan, ujian dalam bentuk kesenangan, semuanya bertujuan untuk perkara ini.
Menguji keimanan.
Jadi, kalau sehingga anda rasa telah ditinggalkan Allah, maka bagaimana dengan keimanan anda?

Kekal percaya
Satu pesan Ustaz Mahadzir(Ketua Warden MATRI) yang saya tidak pernah lupakan adalah:
“Hilal, enta kena bersangka baik dengan Allah”
Ya, bersangka baik dengan Allah yang mengatur segala-galanya. Tahukah kita bahawa, apa sahaja yang Allah aturkan dalam kehidupan kita, adalah baik untuk kita?
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.
Jadi, kenapa kita tidak boleh bersangka baik kepada Allah SWT? Sedangkan Dia Maha Mengetahui, dan kita tidak mengetahui apa-apa?
Susah. Ya, memang susah. Saya sering kata, kalau inginkan syurga yang kesenangannya tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terlintas di dalam jiwa, maka pasti usahanya menggegarkan dunia.
Sebab itu, Allah menyatakan dalam firman-Nya:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Mereka sehingga teruji, hingga mereka berkata: “Di manakah pertolongan Allah?”
Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
Adakah anda percaya?

Selepas kesusahan, akan ada kesenangan
Kesusahan yang menyentuh kita, pasti akan berakhir. Namun sejauh mana kekuatan kita untuk sabar? Di sinilah kita perlu letakkan titik muhasabah kita.
Setiap kesusahan, akan diiringi kesenangan bagi sesiapa yang tabah melaluinya.
Allah SWT berfirman:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Asy-Syarh ayat 5-6.
Dan lihatlah apa firman Allah SWT dalam surah sebelumnya:
“Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi, (Bahawa) Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)” Surah Ad-Dhuha ayat 1-3.
Ya, Allah tidak membenci kita. Jauh sekali meninggalkan kita.
Saya belajar dalam tafsir Al-Quran, bahawa perkataan Dhuha digunakan, adalah kerana ia waktu matahari naik dan dunia terang benderang. Bermakna – telah datang bantuan/kesenangan. Dan malam digunakan, kerana waktu itu gelap. Maka bila Allah berfirman: Dan malam apabila ia sunyi-sepi bermakna – dan apabila kesukaran telah berlalu/ dan apabila kesempitan telah berlalu dan sebagainya.
Ayat ini turun semasa Rasulullah SAW dalam kesukaran. Wahyu terputus agak lama. Sehingga Rasulullah SAW merasakan yang Allah meninggalkan baginda. Maka Allah menurunkan ayat ini, sebagai penenang jiwa baginda.
Penenang, untuk jiwa kita juga.
Yang menyatakan bahawa kita beriman kepada-Nya.

Penutup: Bagi yang teguh, dia akan bahagia
Saya kira, perjalanan tersukar dalam sejarah kehidupan ini adalah perjalanan hidup Rasulullah SAW. Baginda memulakan dakwah dalam keadaan sangat sukar. Dicaci, dihina, dibaling najis, dicederakan, cuba dibunuh dan dikhianati oleh kaum munafiq dan pelbagai lagi cubaan. Lebih-lebih lagi di fasa Makkah, terdapat banyak kesukaran yang baginda hadapi, antaranya dipulau selama 3 tahun 3 bulan sehingga terpaksa memakan daun kering.
Tetapi baginda dan para sahabat tabah. Kekal percaya dengan janji-janji Allah SWT. Tidak duduk diam, malah berusaha dengan kuat untuk mengejar janji-janji Allah SWT.
Akhirnya, kita lihat kegemilangan mereka di akhir period dakwah Rasulullah SAW.
Dan bukanlah di dalam kesukaran itu semuanya menyempitkan.
Bagi yang tenang, dalam kepahitan itu ada kemanisan.
Namun siapakah yang benar-benar beriman?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cebisan Kenangan

Rindu Mesir

~TENTANG CINTA~