Demi anak Umi



“Kamal ingin nikah abah”. Sebaris ayat ringkas yang membuatkan orang tuanya terkilan terpaksa diluah juga akhirnya. Ahmad Kamal merupakan pelajar kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar cawangan Tanta,Mesir. Dia telah jatuh hati pada seorang gadis bijak dan manis bernama Nur Siham . Siham juga merupakan mahasiswi universiti tersebut dimana berpusat di Ibu negara itu, Kaherah. Cinta antara dua hati ini pada mulanya ditentang hebat oleh keluarga masing-masing. Namun dengan izin Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Agung, pasangan ini selamat diijab kabulkan setelah selesai urusan berkaitan pernikahan mereka di kedutaan Malaysia. Mendirikan rumah tangga di awal usia 20-an dan masing-masing masih menuntut ilmu malah merantau negara orang adalah sukar diterima oleh segelintir masyarakat kini. Hanya kerana mereka menganggap kegagalan dalam pembelajaran berpunca daripada pernikahan. Kamal dan Siham adalah pasangan yang cukup berbeza. Mereka lebih mengutamakan ilmu disamping ingin menjaga kesucian naluri antara adam dengan hawa melalui hukum yang digariskan agama. Kamal melakukan tugasnya dengan teliti sebagai seorang penuntut ilmu dan seorang suami yang perlu dicontohi. Kisah cinta mereka berputik kerana ilmu, mereka disatukan kerana ilmu dan kini kehidupan mereka mulai berubah. Dan segalanya cukup indah.
“Anak walid dan umi, besar nanti mesti jadi anak yang soleh.” Senyuman dan doa Kamal untuk isterinya setiap hari. Siham bakal bergelar ibu yang begitu menjaga kesihatan kandungannya. Setiap pagi dia akan mengamalkan memakan balah dan susu habbatusauda’ yang dibeli di kedai A’tor. Wanita itu juga bijak mengatur jadualnya selaku seorang pelajar, isteri dan bakal ibu. Setiap malam sebelum tidur, dia memperdengarkan anak di dalam kandungannya ayat-ayat suci Al-Quran yang dialunkan oleh suami tercinta Kamal. Sungguh, mereka inginkan cahayamata yang soleh dan beriman.
“ Seandainya Siham tiada,Siham amanahkan anak kita ditarbiyah oleh abang.” Pinta Siham kepada suaminya semasa mereka sama-sama berada di dalam bas yang sesak dengan manusia berbangsa arab. Kamal membalas kata-kata itu dengan senyuman kerana dia merasakan isterinya sedang bergurau. Apabila tiba dipintu gerbang kuliah banat, suaminya memanggil Siham dengan penuh kasih sayang,
“ Siham sayang…belajar rajin ye, semoga imtihan kali ini isteri abang najah lagi untuk tahun akhir. Hujung minggu abang balik teman sayang belajar.” Siham mengangguk perlahan mengiyakan pesanan suaminya itu. Seperti biasa air matanya mengalir deras tatkala melihat kelibat suaminya menapak pergi meninggalkan kota kaherah.Tempat belajar Siham dan suaminya berasingan, jarak telah memisahkan mereka berdua. Kamal hanya akan pulang menemui isterinya yang tercinta pada hujung minggu sahaja. Akibat daripada itu, Siham terpaksa menumpang di rumah sahabat baiknya semasa ketiadaan Kamal. Inilah sebuah pengorbanan dan ujian yang perlu ditempuhi. Namun, mereka berdua tetap sabar dan tidak berputus asa demi mengejar cita-cita.
Usia kandungan Siham bertambah dari hari ke hari. Anugerah pernikahan yang Allah beri kepada pasangan sejoli ini sama sekali tidak mengganggu pembelajaran Siham. Siham dapat menghadirkan kuliah dan kelas tambahan dengan baik. Kandungannya seolah-olah memahami akan tugas ibunya. Oleh itu “dia” tidak banyak ragam dan kerenah semasa berada di alam rahim ibunya. Siham dan Kamal selalu menghabiskan masa bersama dengan bertalaqqi di Masjid Al-Azhar As-Syariff. Disamping itu mereka juga tidak melepaskan peluang keemasan menziarahi makam para auliya’ di Bumi Kinanah ini.
“Anak umi, sekarang kita berada di makam imam As-Syaffie Rahimahu Allah a’nhu, semoga anak umi faqih dalam agama.” Bisik Siham perlahan. Kamal kemudiannya meng “amin” kan doa tersebut. Siham terperanjat kecil dan mereka sama-sama berbalas senyuman.
Imtihan berlangsung dengan baik, badan Siham semakin lemah dan pucat. Suaminya juga terpaksa memerah keringat untuk imtihan terakhir. Tahun ini merupakan giliran mereka mengambil bahagian untuk majlis berprestij tinggi iaitu “konvokesyen Al-Azhar”. Lebih bermakna lagi adalah putera yang bakal lahir menyaksikan kejayaan walid dan umi menamatkan ijazah. Dengan pertolongan Allah kedua-dua pasangan bahagia tersebut berjaya menamatkan imtihan dengan harapan keputusan yang bakal tiba menatijahkan kejayaan untuk dijadikan hadiah kepada orang tua di kampung. Secara tidak langsung mereka juga dapat membuktikan bahawa perkahwinan ketika belajar merupakan budaya positif. Ianya perlu dijadikan pedoman kepada pasangan yang lain.
Kini masa yang ditunggu telah tiba. Siham sudah bersedia melahirkan bayi sulung di sebuah hospital berhampiran tempat belajar suaminya. Semasa Siham ditolak ke ruang pembedahan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, dia memegang erat tangan gagah milik suaminya. Dia menghulurkan sebuah buku kepada suaminya.
“Ampuni segala dosa Siham. Abang jaga diri baik-baik ya.” Itulah kata-kata Siham kepada Kamal. Siham telah menghembuskan nafas terakhir saat melahirkan putera pertama dan terakhir buat suami tercinta. Imran Mujahid bin Ahmad Kamal adalah nama yang dipilih sejak awal oleh Siham. Lelehan airmata berjuraian tatkala Kamal menatap setiap helaian hasil tulisan tangan Siham kepada anaknya. Siham telah mencoretkan segala kenangan manis bumi mesir yang diharunginya untuk diceritakan kepada anaknya kelak yang tidak sempat ditatap walaupun sesaat. Jasad Siham selamat disemadi bersama para Anbiya’ dan Auliya’.
Lapan Belas Tahun Berlalu..
Umi,
“Imran sudah datang ziarah umi di bumi kinanah. Imran datang untuk teruskan perjuangan umi. Benar apa yang umi ceritakan tentang mesir.Umi adalah “Super Mujahidah.” Imran rindu umi. Imran sayang umi. “ya Allah, tempatkan umiku bersama para Anbiya…Allahumma amin ya Rabb”.
Imran menyimpan buku usang berwarna hijau milik Nur Siham ke dalam beg galasnya. Lalu dia segera beredar meninggalkan pusara ibunya bertapak di perkebumian rakyat Malaysia. Pelajar pintar itu mula merealisasikan impian ibunya iaitu “hebat dunia, hebat akhirat.”

Glosari : (1)Walid : ayah (2) Umi: ibu (3)balah : sejenis kurma (4) A’tor : kedai barangan kering(5)kuliah banat:kuliah mahasiswi (6)Imtihan:peperiksaan(7)Najah:berjaya(8)talaqqi:menuntut ilmu(9)makam:kubur(10)faqih:mendalami ilmu

Ulasan

  1. Should there be another persuasive post you can share next time, I’ll be surely waiting for it. web free design

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cebisan Kenangan

Rindu Mesir

~TENTANG CINTA~